Sunday, March 30, 2008

Petua 1 : Jangkakan Kejayaan
Hukum minda mengatakan apa yang dijangkakan berkemungkinan besar akan berlaku. Oleh itu,
daripada membuang masa menjangkakan kegagalan kenapa tidak jangkakan kejayaan. Sekiranya
anda jangkakan kejayaan, fokus anda pastinya hanya kepada cara untuk berjaya. Anda gambarkan
hanya nikmat dan erti sebuah kejayaan, maka secara tidak langsung anda akan menggarap sikap
positif. Malangnya dalam kehidupan ini kita sering takutkan kegagalan. Cara fikir kita menjurus
ke arah itu. Oleh itu yang tergambar dipemikiran kita hanyalah halangan dan rintangan serta
kepayahan. Dalam memburu kejayaan anda tidak boleh putus harapan. HARAPAN adalah satu
anugerah yang cukup besar Allah berikan kepada manusia.

Manusia biasanya membangun ketahap yang mereka jangkakan atau yang orang lain jangkakan
terhadap mereka. Oleh itu jangkakan kejayaan dalam setiap usaha yang anda lakukan. Kalau anda
perlu ubah perancangan untuk mencapai sasaran, maka ubahlah. Pastikan juga anda bertindakbalas
secara positif terhadap perkara-perkara yang mungkin membantutkan kejayaan tersebut. Lihat diri
anda sebagai seseorang yang pasti merealisasikan harapan yang digenggam.

Apabila kita rasakan yang kita tidak punya masa depan, tiada harapan untuk maju, tiada peluang
untuk meningkatkan keupayaan maka ia akan menjurus kita kepada satu sikap negatif iaitu sikap malas.

Petua 2 : Lakunkan Watak Orang Cemerlang

Tidak dapat dinafikan setiap manusia mempunyai kelemahan dan kekuatannya tersendiri. Sebab
itulah untuk berjaya kita mesti mempunyai model ikutan (role model) yang boleh ditauladani.

Cuba lihat senario berikut, katakanlah anda sebagai seorang pelajar, telah dipilih untuk berlakun
dalam sebuah filem tempatan. Kisahnya berkisar kehidupan pelajar-pelajar sekolah dan anda telah
dipilih sebagai pelakun utama. Bayarannya cukup lumayan iaitu RM10,000 dan nama anda juga akan
dikenali ramai setelah filem ini ditayangkan. Anda dikehendaki melakunkan watak pelajar cemerlang.
Syarat untuk anda kekal sebagai pelakun cuma dua iaitu, yang pertama anda mestilah menjaga
disiplin dan masa anda
. Maknanya, apabila pergambaran bermula jam 5 petang maka anda mesti berada dilokasi sebelum
masa tersebut. Yang keduanya pula, anda mesti menghayati watak pelajar cemerlang sepenuhnya.
Sekiranya pengarah tidak berpuas hati dengan anda, dia akan gugurkan nama anda dari senarai pelakun
pada bila-bila masa. Pengarah tidak risau sebab anda pelakun baru, satu ditolak berpuluh akan
memohon untuk berlakun.

Kalau anda berada dalam situasi di atas, apa tindakan anda? Saya yakin anda akan mula meneliti
dan memahami plot filem tersebut bersungguh-sungguh. Anda mula menghafal skrip yang diberikan
ayat demi ayat biarpun ketebalannya mencecah ratusan muka surat. Anda akan mula menjiwai dan
menghayati watak pelajar cemerlang yang diberikan kepada anda. Anda akan tiru gaya, percakapan
dan cara hidup mereka. Pendek kata anda mahu penonton lihat betapa realistiknya lakunan anda.
Anda mahu dikenali selepas usaha anda ini. Anda mahukan ganjaran wang RM10,000 yang dijanjikan
kepada anda.

Tidakkah anda terfikir betapa beruntungnya kalau anda lakunkan perkara yang serupa setiap hari
dalam hidup anda. Kenapa mesti anda bersungguh-sungguh dalam lakunan filem? Tidakkah anda
sedar bahawa kita semuanya pelakun di pentas dunia atau di pentas kehidupan. Kenapa tidak
lakunkan watak orang cemerlang itu hari ini. Anggapkan seolah-olah anda berhadapan dengan kamera.
Kalau anda seorang pelajar, maka bertindaklah seperti pelajar cemerlang di sekolah anda sekarang!
Sekiranya anda seorang pekerja, bertindaklah seolah-olah anda pekerja cemerlang sekarang! Mula mengurus
masa secara berkesan, menglibatkan diri secara aktif, berperibadi mulia seolah-olah anda sememangnya
cemerlang. Lakukannya setiap hari dan hasilnya nanti anda akan perolehi apa yang diperolehi oleh
pelajar cemerlang lainnya. Lebih malang lagi kalau anda tidak mahu menjadi pelakun itu hari ini
maka Allah akan pilih orang lain untuk menggantikan tempat anda. Orang lainlah nanti yang akan berjaya.
Mereka akan jadi pemimpin, jurutera, ulamak, peguam dan sebagainya. Orang lain yang akan dikenali
dan nama mereka disebut-sebut sebagai orang yang membawa perubahan dalam masyarakat.
Orang lain yang akan memperolehi pendapatan bukan sekadar RM10,000 tetapi mungkin lebih tiap-tiap bulan.

Anda tidak punya pilihan lain. Untuk berjaya anda mesti mula berlakun hari ini. Hayati watak orang
cemerlang. Berfikirlah, bercakaplah dan bertindaklah seperti mereka yang cemerlang. Lama kelamaan
tabiat cemerlang akan sebati dengan kehidupan harian anda. Ia akan menjadi sikap baru anda.
Anda akan dapati mereka disekeliling anda menyedari yang anda kini bersikap positif. Setiap kebaikan
yang bakal anda perolehi hasil lakunan positif anda ini membuatkan anda tidak mahu lagi kembali
kepada sikap negatif anda sebelum ini. Anda mula memikirkan untuk hidup dalam kelompok
dan persekitaran baru. Apa anda tunggu lagi? Lakunkanlah watak orang cemerlang itu sekarang
dengan memerhatikan model ikutan anda

0 ulasan:

 
Powered by Blogger | Printable Coupons