AKHIR-AKHIR ini, amalan fitnah menfitnah, tuduh menuduh, sindir menyindir, menyebarkan khabar angin atau berita palsu, perkataan lucah, mendedahkan keburukan orang lain dan berprasangka buruk semakin menjalar dan membarah dalam masyarakat Islam.
Semua amalan ini umumnya datang dari lidah yang tidak bertulang dan lebih berbahaya daripada mata pedang hingga memungkinkan akibat dan kesan yang buruk kepada umat manusia seluruhnya.
Oleh itu, Islam awal-awal lagi mengingatkan umat Islam mengenai bahaya penyalahgunaan nikmat lidah yang dianugerahi Allah. Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Kebanyakan dosa anak Adam kerana lidahnya,” (riwayat Tabarani dan Baihaqi).
Perlu diinsafi, walaupun lidah salah satu anggota badan manusia yang kecil menghiasi kesempurnaan kejadian makhluk Allah, ia mempunyai peranan agak besar dalam kehidupan manusia.
Pada satu ketika, lidah boleh memulia dan mengangkat maruah seseorang dan dalam ketika lain, mampu pula untuk menghina dan menjatuhkan seseorang. Malah, lidah juga berupaya membawa kejayaan dan mampu membawa kegagalan. Maka tidak hairanlah orang tua ada bermadah “sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa.”
Menyedari kedudukan lidah yang penting, Rasulullah bersabda maksudnya: “Ketika seseorang memasuki pagi yang hening, seluruh anggota tubuhnya akan berlutut merayu kepada lidah seraya berkata: Hendaklah engkau bertakwa kepada Allah kerana kami sangat-sangat bergantung kepada engkau. Apabila engkau beristiqamah, kami pun akan turut sama beristiqamah. Sebaliknya, jika engkau menyimpang dari jalan yang benar, kami pun turut menyimpang,” (riwayat Tirmizi).
Mafhum daripada hadis ini menjelaskan lidah umpama pisau bermata dua. Ia bisa hadir sebagai rahmat kepada manusia di kala ungkapan ucapannya terselit unsur nasihat dan ketaatan kepada Allah Taala dan pada masa sama, ia juga membawa sembilu dan kepedihan kepada umat manusia di kala li-sannya mendedahkan belangnya yang tersembunyi.
Gambaran sebegini amat jelas sebagai contohnya, khabar angin yang disebarkan boleh melonjakkan indeks ekonomi sesebuah negara, begitu juga ia mampu membuatkan indeks ekonomi jatuh merudum gara-gara hanya dengan spekulasi yang tersebar. Begitulah peranan lidah yang mengundang bahaya tersembunyi di sebalik kepetahan dan keindahan bahasa terungkap.
Menurut perspektif Islam, lidah akan melambangkan identiti seseorang, sama ada dia bertakwa dan beriman kepada Allah atau sebaliknya. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik-baik ataupun dia berdiam saja,” (riwayat Bukhari).
Berdasarkan hadis di atas, seseorang insan dianggap beriman kepada Allah Taala dan juga hari Akhirat sekiranya dia dapat memelihara lidahnya daripada perkara batil dan dilarang Islam.
Seterusnya seorang yang beriman dan bertakwa akan menjuruskan lidahnya dengan amalan kebajikan dan bermanfaat kepada umat manusia serta mengelakkan daripada perkara melalaikan.
Hal ini juga ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman; iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia,” (al-Mukminum: 1-3).
Dalam al-Quran, Allah Taala ada menyediakan panduan bagaimana lidah seseorang beriman sewajarnya disalurkan dan dimanfaatkan kerana setiap perkataan yang terkeluar akan dirakam dan direkodkan oleh malaikat, sebagaimana firman Allah dalam surah Qaf, ayat 18 bermaksud: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”
Alangkah berbahagia dan beruntungnya seorang beriman yang menyumbangkan kebaikan dan kedamaian alam sejagat melalui ungkapan kata-katanya yang sentiasa bermakna dan bermanfaat.
Sehubungan itu, Allah ada berfirman dalam surah An Nisa’, ayat 114 maksudnya: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisik mereka kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.”
Mafhum ayat suci ini secara jelas menegaskan ada tiga jenis amalan dianjurkan Islam melalui lidahnya, iaitu menyuruh orang melakukan amalan sedekah; menyuruh orang lain berbuat kebaikan dan kebajikan; serta mendamaikan antara dua orang atau dua pihak bergaduh.
Ini bermakna, amalan-amalan yang selain daripada itu seperti melepak, mengumpat, bergurau senda berlebihan, memfitnah dan sebagainya adalah perbuatan sia-sia yang dilarang Islam dan ianya juga mengakibatkan dosa kepada si pelakunya dan orang yang bersubahat dengannya. Malah, dia termasuk di kalangan orang yang kerugian sama ada di dunia dan di akhirat sejajar dengan firman Allah dalam surah Al ‘Asr, ayat 1 - 3 yang bermaksud: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran (iktiqad kepercayaan, tutur kata dan amal perbuatan) serta berpesan-pesan dengan sabar (dalam menjalankan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya).”
Selanjutnya, Islam melarang umatnya menggunakan lidah untuk perbuatan keji seperti mengumpat kerana amalan itu tidak termasuk dalam adab susila Islam. Baginda pernah bersabda maksudnya:
“Bukanlah seseorang mukmin itu yang menjadi pencaci, pelaknat, bukan yang suka berkata kotor atau yang lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina.” (Riwayat Bazzar dan Hakim) Dalam satu hadis yang lain, baginda bersabda maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang suka memfitnah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Tidak cukup dengan itu, Allah juga melarang perbuatan keji yang terhasil dari lidah sebagaimana firman-Nya dalam surah Al Hujurat, ayat 11-12 yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan lelaki yang lain, (kerana) kemungkinan puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka: dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan perempuan yang lain, (kerana) kemungkinan puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah juga kamu memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan itu menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruk sebutan fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (dari perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim. Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari kesalahan dan keaiban orang lain; dan janganlah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.”
Rangkaian nas-nas suci itu sudah cukup untuk membuktikan betapa Islam melarang keras sebarang perbuatan keji yang terbit dari lidah itu. Ini adalah kerana natijah daripada perbuatan itu amat berbahaya, bukan saja kepada inidividu, bahkan boleh membabitkan komuniti masyarakat keseluruhannya. Jika diimbas pada zaman Khulafa’ Al Rasyidin, sejarah Islam telah menyaksikan perpecahan dan pertelagahan yang ketara di kalangan umat Islam kerana berlakunya fitnah terbesar pada zaman Sayyidina Othman bin Affan dan juga zaman Sayyidina Ali bin Abi Talib. Sebab itulah, munculnya pelbagai mazhab ilmu kalam yang berselisih pendapat dalam beberapa isu agama. Selain daripada itu, ia memberi kesan secara tidak langsung kepada kekuatan kerukunan sesuatu bangsa dalam meneruskan perjuangan hidup yang sentiasa bergolak dengan badai pancaroba yang tidak henti-henti.
Seterusnya, mafhum firman Allah menyingkapkan kemuliaan dan penghormatan seseorang manusia di sisi Allah bukanlah berdasarkan kepada rupa parasnya, kekayaannya, hartanya atau warna kulitnya. Sebaliknya, neraca pada sisi Allah ialah nilai keimanan dan ketakwaan yang sentiasa bertakhta dalam jiwa sanubarinya. Oleh kerana itu, setiap individu Muslim hendaklah sentiasa berwaspada semasa bercakap dan bertutur dengan saudaranya yang lain dan juga memelihara lidahnya daripada melakukan perbuatan yang tercela lagi dilarang Allah.
Lanjutan daripada ini juga, Allah memerintahkan umat Islam agar menapis dan menyaring terlebih dulu sebarang khabar berita atau fitnah yang tersebar sama ada surat layang, berita-berita akhbar atau majalah dan sebagainya supaya tidak terperangkap dengan jerangkap dosa yang merugikan mereka kelak. Firman Allah maksudnya: “Wahai orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa satu berita, maka hendaklah kamu selidiki (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali terhadap apa yang telah kamu lakukan.” (Al Hujurat : 6)
Demikian keindahan yang menghiasi Islam. Kedamaian dan kesejahteraan ummah menjadi misi dan agenda utama di sebalik perutusannya kepada seluruh isi alam ini. Dari sini, hendaklah seluruh warga Muslim menyedari dan menginsafi Islam adalah ad Din yang bersifat kebaikan dan kebajikan untuk dapat dimanfaati oleh sekelian isi alam ini di samping kalimah tauhid terus berkumandang dan dijunjung sepanjang masa.
Wednesday, November 14, 2007
Bahaya jika nikmat lidah disalahguna
1:36 PM
info KPT online
0 ulasan:
Post a Comment