Tuesday, November 6, 2007

Kisah Dari Tanah Suci: Dosa-dosa berguguran di Mina

Oleh : Kas Haji Reduan

Pada pagi Hari Raya Aidiladha 1412, setelah selesai melontar wajib Jamratul Kubra dengan isteri di Mina, aku pergi seorang diri ke bawah kolong jejantas mencari penggunting rambut. Aku memberi isyarat kepada seorang tukang gunting yang baru selesai mencukur rambut sekumpulan orang Pakistan.

Aku disuruh duduk di atas sebuah tong kayu. Sementara si Arab, penggunting rambut itu menyiapkan pisau cukurnya. Sebilah pisau Gillette dipatah dua. Satu bahagian diselit pada pisau cukurnya. Sebahagian lagi disimpan. "Sungguh prihatin. Sebilah mata pisau Gillette dapat di pakai untuk dua kepala," fikirku.

Sebelum dicukur, rambutku dibasuh dengan air sabun yang diambil daripada sebuah botol. Terasa dingin dan wangi air sabun itu apabila meresap ke atas kulit kepalaku. Sejak kecil aku tidak pernah bercukur kepala. Rambutku yang hitam dan lebat aku biarkan panjang. Ia digunting pendek, bawah bahagian tengkuk, ala rambut bintang filem. Tapi sebelum ke Makkah rambut itu aku pangkas pendek.

Aku dapat merasakan mata pisau Gillette itu menyentuh kulit kepalaku dan memotong rambutnya. Sehelai demi sehelai rambutku putus dan gugur ke atas kain putih penutup dada. Si Arab itu mencukur kepalaku dengan pantas dan cekatan. "Biarlah dosanya gugur bersama-sama rambutku," doaku dalam hati. "Mudah-mudahan setiap helai rambut itu akan dinilai oleh Tuhan dengan pahala. Rambutku akan bercahaya dan menjadi saksi di Mahsyar nanti." Sudah nawaitu dari rumah aku hendak mencukur kepalaku apabila selesai melontar wajib Jamratul Kubra di Mina.

Akan aku korbankan rambutku yang hitam dan lebat itu demi ibadat hajiku. Biar kepalaku gondol, licin seperti Kojek, pelakon filem Barat itu. Biar ia kelihatan hodoh. Aku mengharapkan haji yang mabrur. Dalam al-Quran, Nabi Ibrahim a.s. diwahyukan Tuhan dalam mimpinya menyembelih Ismail anaknya. Nabi Allah Ismail a.s. reda dan takwa disembelih bapanya kerana taat perintah Tuhan.

Syaitan menggoda. Nabi Ibrahim a.s. melempar kerikil dan menyembelih kibas sebagai ganti Ismail anaknya. Sunnah ini diikuti oleh Nabi Muhammad s.a.w. dengan melontar Jamrah dan menyembelih kambing ketika Haji Wada', Haji Perpisahan. Kemudian diikuti oleh Muslimin sebagai syariat wajib haji Nabi Muhammad s.a.w.

Apakah aku merasa keberatan mengorbankan rambutku yang hitam dan lebat demi hajiku? Si Arab, penggunting rambut itu, selesai sudah mencukur kepalaku. Kerjanya pantas dan cekatan. Kepalaku licin, terasa ringan dan berangin. Aku hulurkan 10 riyal sebagai upah. Aku tidak minta wang bakinya. Aku merasa gembira dan syukur kepada Tuhan kerana niatku telah tertunai. "Halal," kataku.

"Syukran," si Arab itu tersenyum sambil melambaikan tangan. Aku beredar dari kolong jejantas, tempat orang melontar Jamrah dengan wajah baru. “Bagaimana wajahku setelah kepalaku gondol? Tentu Melah, isteriku ketawa akan melihat kepalaku gondol," fikirku dalam hati. Aku melihat wajahku dalam cermin kecil yang tergantung di dinding. Aku senyum sendirian. Kepala tanpa rambut seperti buah rambutan dikupas, aku rasa lucu.

Aku tutup kepala itu dengan kopiah. Di atas kopiah aku tudung dengan serban putih. Kepala itu perlu dilindungi daripada sengatan mata hari Mina yang mula membakar. Aku menuju ke masjid Al-Khaif, Mina untuk solat sunat hari raya Aidiladha. Tapi masjid itu penuh dan manusia melimpah ruah hingga keluar. Hatiku terkenang Hari Raya dan anak-anak di kampung. Tentunya meriah. Ada ketupat dan lodeh. Ada lemang dan rendang. Ada kuih dan oren. Tapi di Mina ini, suasana Hari Raya tidak seperti di kampung. "Allah Akbar! Allah Akbar! Allah Akbar! Allah Yang Maha Besar. Segala puji bagi Allah," aku bertakbir.

Apa lagi yang disayangi dan belum dikorbankan? Aku bertanya dalam hati. Aku pergi ke Pejabat Tabung Haji di hujung jalan ke Muassim, menemui pegawai yang menguruskan 'dam dan korban'. "Tuan, saya hendak menyembelih korban. Berapa harga korban seekor kambing?" Aku majukan pertanyaan. "Tuan haji, harga korban seekor kambing atau dan untuk seorang 300 riyal. Berapa orang Tuan Haji hendak sembelih korban?" pegawai Tabung Haji bertanya dengan ramah. "Empat orang," kataku kemudian.

Aku keluarkan wang dari dalam dompet dan membayar harga korban itu untuk empat orang. Aku hulurkan tangan berijab kabul. "Ini korban untuk diriku, isteri dan dua orang anak saya di kampung kerana Allah." Pegawai itu menerima wang korbanku dan mencatat nama-nama yang aku sebutkan ke dalam buku. Dia mengeluarkan resit. Kemudian dia menadah tangan berdoa. Aku aminkan doanya dengan takzim.

Apalah ertinya rial jika dibandingkan dengan korban dan pahalanya kerana Allah? Aku dapat berkorban di tempat Nabi s.a.w. menyembelih korbannya. Alangkah besar hikmatnya? Allah Akbar! Selesai sudahlah niatku. Aku serahkan urusan korban itu kepada mereka. Daging korban untuk diagih-agihkan kepada mereka yang berhak. Aku tidak memerlukan daging atau darah, fikirku. Aku mengharapkan keredaan Allah semata-mata. Semoga korbanku diterima Allah. Amalanku diredai. Hajiku mabrur dan perniagaan yang tidak rugi.

0 ulasan:

 
Powered by Blogger | Printable Coupons