Wednesday, November 14, 2007

PENJELASAN TERHADAP NOTA MAKLUMAN

KELUARGA PENUNTUT-PENUNTUT TERENGGANU

Terengganu Student`s Hostel , Malaysian Student`s Complex ,
Tooba El-Ramly Street, El-Hayyu El-Asyier, Nasr City, Cairo,
Arab Republic Of Egypt.

Rujukan kami : JYDP 01/01/01-X44/2007/2008 ( 01)
Tarikh : 3 Zulkaedah 1428 H
Bersamaan : 14 November 2007 M



Assalamualaikum wrt. wbt.



Yang Berbahagia,
Encik Mat Ropi bin Busu,
Pegawai Tadbir (HEP) Terengganu Mesir,
Asrama Darul Iman,
Tooba El-Ramly Street, El-Hayyu El-Asyier,
Nasr City, Cairo,
Arab Republic of Egypt.



Tuan,

PENJELASAN TERHADAP NOTA MAKLUMAN

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk

2.0 Berhubung dengan ini, kami Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu ( KPT ) menjelaskan dakwaan-dakwaan yang dilemparkan kepada KPT sebagaimana di bawah:

2.1.0 Penghantaran Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada Pegawai HEP Terengganu adalah di luar pengetahuan dan pengawalan kami. Ini kerana KPT sama sekali tidak pernah merancang dan mengarahkan ahli-ahlinya untuk melakukan tindakan sedemikian.Tambahan pula, SMS tersebut adalah datangnya daripada individu yang tidak dikenalpasti dan tindakan pihak tuan mengaitkan perbuatan tersebut dengan KPT adalah tidak wajar. Pihak KPT menafikan sekeras-sekerasnya bahawa kami merancang untuk mengancam kehidupan seseorang muslim dengan pelbagai ugutan, pertumpahan darah, nyawa melayang, anak pinak diancam dan harta benda dirosakkan sebagaimana yang didakwa di dalam nota makluman tersebut.

2.2.0 Pengeluaran cek pinjaman Yayasan Terengganu dan zakat Maidam merupakan urusan rasmi pihak Yayasan dan MAIDAM. Pemegang pinjaman masih tertakluk kepada perjanjian yang telah diikat dengan pihak yayasan. Pihak tuan tidak seharusnya menghukum keseluruhan pelajar Terengganu dengan menyekat pengeluaran cek/pengesahan zakat dan lain-lain berdasarkan tindakan segelintir individu yang tidak dikenalpasti. Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Tindakan pihak tuan memilih kasih terhadap individu tertentu sahaja untuk penyerahan cek YT, pengesahan zakat dan lain-lain adalah berlawanan dengan perjanjian yang termeterai dan menjadi tugasan pihak tuan untuk memudahkan urusan pelajar di sini.


2.3.0 Persatuan Keluarga Penuntut-penunutut Terengganu adalah sebuah badan kebajikan terhadap mahasiswa-mahasiswi Terengganu semenjak penubuhannya pada tahun 1964 sehingga sekarang. Pihak KPT tidak pernah mendabik dada bahawa KPT menjuarai kerja–kerja kebajikan membantu pelajar-pelajar Terengganu di Mesir. Pihak kami sentiasa menjalinkan hubungan dengan Yayasan Terengganu, MAIDAM, Kedutaan Besar Malaysia di Mesir dan lain-lain lagi dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut seperti membantudalam urusan pengeluaran cek pinjaman, menguruskan borang permohanan zakat dan lain-lain. Oleh itu, kerja-kerja kebajikan yang diteruskan sehingga kini bukanlah merupakan tindakan mengancam keselamatan pihak PPTM yang menyebabkan pihak tuan berasa berada dalam keadaan yang tidak selamat. Selain itu juga KPT bertanggungjawab mendidik insan mukmin, beriman dan beramal berdasarkan Al-Quran dan As-sunnah. Program-program yang dianjurkan oleh KPT bukan bermatlamat untuk mengajar ahlinya bertindak ganas sebagaimana yang didakwa olek pihak tuan.

3.0.0 Sehubungan itu, kami berharap dengan penjelasan-penjelasan tersebut dapat menjawab dakwaan daripada pihak tuan di dalam nota makluman tersebut. Kami ingin menegaskan bahawa SMS (sms hantu), kewujudan blog dan tindakan segelintir mahasiswa/i yang tidak menyenangkan adalah daripada individu yang tidak dikenalpasti dan tidak boleh dikaitkan dengan KPT. Diharapkan pihak tuan menarik balik segala dakwaan yang dilemparkan kepada KPT. Kami juga mengharapkan agar pihak tuan meminta penjelasan daripada pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan dan dakwaan terhadap kami.



Sekian, Wassalam.



“ GEMBLENG KEKUATAN PASAK KEILMUAN ”

“ BERILMU DAN BERAMAL “



Yang menjalankan tugas,

t.t
( ABDUL HAKIM BIN BAHARUDIN )


Yang Dipertua,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu,
Sesi 2007/2008



S.k,


1. TYT Datuk Duta Malaysia ke Kaherah,
2. Pemangku Pengarah JPMK Kaherah,
3. Perancang kanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu,
4. SUP Politik YAB Menteri Besar,
5. Pengarah Yayasan Terengganu,
6. Pengurusan Zakat Maidam,

0 ulasan:

 
Powered by Blogger | Printable Coupons