الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا أللهم صل على سيدنا محمد وعلى أله وصحبه أجمعين, أما بعد
Selamat menyambut hari raya Iduladha kepada seluruh ahli KPT serta muslimin dan muslimat.Hari raya Iduladha ini merupakan salah satu perayaan di dalam Islam yang diraikan saban tahun sejak zaman Baginda Nabi S.A.W. lagi.Ia merupakan satu anugerah daripada Allah S.W.T kepada hamba-hambanya yang beriman dan sabar dalam mentaati perintahnya.Juga dikhususkan sekitar waktunya bagi umat Islam mengerjakan ibadah Haji untuk mereka yang mampu.
Antara kelaziman bagi umat Islam dalam menyambut hari raya ini,mereka disunatkan melaksanakan ibadah korban,sebagai mengikut amalan nabi S.A.W.Mengikut para ulama’,ibadah korban menjadi sunat muakkad kifayah bagi setiap ahli keluarga untuk melaksanakannya.Maksudnya,setiap ahli keluarga turut mendapat pahala ibadah korban sekira salah seorang daripada mereka melaksanakan korban pada Hari Raya Iduladha ini.
Namun begitu,di sana terdapat pengajaran yang amat penting disebalik ibadah korban tersebut.Terutamanya,apabila kita merujuk kepada peristiwa bersejarah Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s.Nabi Ibrahim dengan penuh taat dan redha melaksanakan perintah Allah S.W.T ,menyembelih anaknya,walaupun ianya amat sukar bagi seorang bapa untuk melakukannya.Di sini jelas menunjukkan bahawa,dalam melaksanakan perintah Allah S.W.T memerlukan pengorbanan yang tinggi bagi meletakkan diri kita di kalangan hamba Allah yang soleh.
Al-Quran telah menjelaskan bahawa manusia ini tidak akan dibiarkan untuk menyatakan keimanan mereka,tanpa diuji terlebih dengan mehnah dan fitnah.Begitu juga,di saat ini,umat Islam yang mengerjakan ibadah Haji.Bukan sahaja mereka mengorbankan harta benda dan masa,bahkan segala tenaga dan kekuatan dihabiskan semata-mata untuk mempersembahkan ibadah tersebut kepada Allah dengan sebaik mungkin.
Juga dalam konteks kita sebagai penuntut ilmu agama Allah S.W.T memerlukan kepada mujahadah yang tinggi untuk mengisi minda dan akal dengan makanan ilmu.Kerana ilmu itu tidak datang dengan sendiri,tanpa dicari dan diusahakan.Juga tidak lupa dalam fatrah imtihan ini,kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.Walaupun imtihan ini bukan segala-galanya,sekurang-kurangnya ia menjadi satu bukti kematangan ilmu dalam diri kita.Sama-samalah kita mendoakan kejayaan semua.
Akhirnya dalam kemeriahan menyambut hari raya Iduladha ini,marilah sama-sama kita memperbanyakkan takbir,tahmid dan tasbih kepada Allah S.W.T sebagai memuji kebesaran Tuhan Pencipta alam dan tanda kesyukuran kita ke atas nikmat-nikmatNya yang tidak terhingga banyaknya.Semoga raya pada kali ini,meningkatkan lagi semangat pengorbanan kita untuk menuntut ilmu dan melaksanakan segala perintah Allah S.W.T sebagaimana para nabi dan ulama' yang terdahulu,tidak kenal erti penat lelah dan berputus asa.
ABDUL HAKIM BIN BAHARUDIN
YANG DIPERTUA,
KELUARGA PENUNTUT-PENUNTUT TERENGGANU,
2007/2008
0 ulasan:
Post a Comment