Tirai 1428H telah berlabuh,kini tersingkap pula pentas baru kehidupan bagi kita umat Islam untuk menempuh era baru dalam memikul tanggungjawab sebagai hamba Allah di atas muka bumi.Tahun baru bukan merupakan satu perayaan yang ditetapkan dalam Islam.Tetapi tidak salah kiranya kita menjadikan ia satu titik penghijrahan kita dari keburukan kepada kebaikan,dari kebaikan kepada yang lebih baik dan sempurna.
Suka saya untuk membawa kita semua mengimbau kembali peristiwa yang berlaku pada 1428
yang lepas. Pastinya sebagai seorang manusia,banyak nostalgia yang terjadi atas diri kita atau orang disekeliling kita.Namun apa yang ingin saya cetuskan di sini,peristiwa yang berlaku sekitar sebulan lepas.Iaitu kematian tokoh politik dunia Islam dari Pakistan Benazir Butto.Bukanlah kiranya saya ungkitkan peristiwa ini sebagai memuji atau mengagungkan beliau.Tetapi kita melihat kepada realiti yang berlaku di dalam dunia Islam
dan pengajaran yang boleh diambil oleh kita golongan pewaris nabi-nabi dan rasul-rasul daripada peristiwa tersebut.
Pertamanya,sebagaimana yang dimaklumi Pakistan merupakan sebuah Negara Islam yang penduduknya mejoriti beragama Islam dan terlalu sedikit populasi penduduk bukan Islam.Kemudian,terdapat banyak pusat-pusat pengajian ilmu Islam yang terkenal dan ramai guru-guru yang alim lagi mursyid.Ramai murid-murid dari seluruh dunia berhijrah ke sana bagi menimba ilmu daripada ulama’-ulama’ yang ada.Mempunyai sistem pengajian yang bersanad.Namun begitu,kenapakah pergolakan politik,ketidakstabilan ekonomi dan keselamatan yang terjamin masih berlaku di Pakistan.
Apakah Islam tidak menitikberatkan soal kepimpinan dan politik,adakah Islam tidak mengajar umatnya supaya menegakkan keamanan dan memelihara hak orang lain?Bukanlah tugas kita untuk menunding jari kepada sesiapa.Tetapi kita perlu meneliti punca dan sebab yang mengheret negara tersebut ke arah kemusnahan.Sebagai pengajaran buat semua.Nabi pernah bersabda “Seandainya urusan kepimpinan diserahkan kepada bukan ahlinya,maka tunggulah saat kehancuran”.Sebagai golongan yang belajar ilmu Islam dan memahami tuntutan-tuntutannya marilah berfikir sejenak memikirkan suasana yang telah berlaku di negara Islam ini.Sanggupkah kita melihat ia terus berlarutan atau berlaku di negara kita pula?
Maka tidak dapat tidak,untuk menghindari kemusnahan sebegitu,kita perlu berbuat sesuatu.Sebagai golongan ulama’, kita perlu memimpin masyarakat berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah ke arah kehidupan yang aman dan harmoni iaitu dengan beriman kepada Allah S.W.T dan mentaati segala perintahNya.Tidak cukup dengan hanya mengajar dan menyebarkan ilmu tanpa diberikan pendidikan secara amali kepada masyarakat.Apabila masyarakat sudah mengamalkan ajaran Islam secara sempurna,Insya Allah keamanan dan keharmonian dalam hidup akan terhasil.
Bersempena tahun baru hijrah ini,saya menyeru kepada diri saya dan sahabat-sahabat sekalian supaya menyedari peranan kita yang amat besar.Kalau sebelum ini kita hanya merasakan kehidupan hanya untuk diri kita dan keluarga kita sahaja,pada tahun baru ini,kita menukar persepsi tersebut.Biarlah segala yang gerak kerja yang dilakukan adalah untuk Islam dan umatnya.Sebagaimana para nabi dan rasul terdahulu banyak berkorban dan berusaha untuk menyampaikan Islam,maka kita juga perlu menempatkan diri kita satu landasan dengan mereka.
"KULLU AM WA ANTUM BIKHOIR"
ABDUL HAKIM BIN BAHARUDIN
Yang DiPertua,
Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu.