Oleh Suhana Abdul Mutalib
SHAH ALAM 17 Jan. – Pelajar Malaysia di Mesir, yang dituduh membunuh rakan senegaranya Jun tahun lalu terlepas daripada hukuman gantung sampai mati dalam perbicaraan di Mahkamah Mesir 14 Januari lalu.
Bagaimanapun, tertuduh yang merupakan pelajar tahun dua, Jurusan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar cawangan Mansourah itu dikenakan hukuman penjara 25 tahun atas kesalahan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, beliau mengetahui berita itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh pegawai Malaysia di sana.
‘‘Saya dimaklumkan, pelajar terbabit juga dibenarkan membuat rayuan bagi mengurangkan tempoh hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya,” katanya di sini hari ini.
Abdul Rahman enggan mendedahkan identiti pelajar yang berasal dari Dengkil, Selangor dan ditaja oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu.
Jun tahun lalu, pelajar terbabit ditahan di Penjara Mesir selepas membunuh rakannya, Mohamad Ishak, 22, yang sedang mengulang kaji pelajaran di rumah sewanya.
Mangsa yang berasal dari Chendering, Kuala Terengganu itu ditemui mati setelah dipukul dengan kayu dan ditikam bertalu-talu di seluruh tubuhnya.
Ketika hari kejadian, tertuduh dipercayai pergi ke rumah mangsa bagi mencari kawan-kawan mangsa yang dikatakan berselisih faham dengannya.
Bagaimanapun, mangsa yang ketika itu sedang melayari Internet sambil membaca buku kemudiannya, dipukul oleh tertuduh dengan sebatang kayu sebelum ditikam bertubi-tubi menggunakan pisau.
Abdul Rahman berkata, keluarga pelajar terbabit belum dimaklumkan berhubung keputusan mahkamah Mesir itu dan beliau akan mengarahkan pegawainya untuk memaklumkan keputusan itu secepat mungkin.
sumber : www.utusan.com.my
Saturday, January 19, 2008
Pelajar kita di Mesir terlepas hukuman gantung
2:49 PM
info KPT online
0 ulasan:
Post a Comment