Monday, March 3, 2008

PMRAM Gesa Ahli Tingkatkan Keselamatan

Oleh : Mohd Rasul bin Amat
Ketua Badan Kebajikan dan Tabung Derma PMRAM 2007

Sejak kebelakangan ini kita melihat keamanan dan keselamatan anak-anak Malaysia di perlembahan Nil ini semakin berada di tahap yang agak merbahaya. Perkara ini disedari semenjak beberapa tahun yang lepas melihat kepada kes-kes rompakan, kecurian, gangguan seksual bahkan sehingga hampir meragut nyawa beberapa orang pelajar yang pernah ditimpa musibah ini. Kita melihat perkara ini begitu membahayakan keselamatan semua masyarakat pelajar tidak mengira mahasiswa mahupun mahasiswi. Dalam masa yang sama kalau dilihat kes-kes yang terbaru bukan sahaja berlaku di waktu malam kebiasaannya, bahkan turut berlaku pada waktu siang mentari terang memancar.

PMRAM berharap kepada Badan Kebajikan Anak Negeri dan Dewan Perwakilan Mahasiswa dapat melaporkan sesegera yang mungkin kepada pihak PMRAM sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. Kes yang terbaru berlaku di Hayyu Zuhur apabila seorang siswa dari Kelantan telah diancam dan diragut oleh segerombolan ‘mat hitam’ yang membawa senjata dipercayai sebilah parang.

Justeru itu, PMRAM mengharapkan kerjasama dari semua pihak dalam memastikan keselamatan semua anak-anak Malaysia di Mesir terjamin tanpa mengira sama ada pelajar pengajian Islam mahupun perubatan demi memastikan kes yang sama tidak akan berulang lagi.

Melihat kepada situasi tersebut, Presiden PMRAM, saudara Hairul Nizam Mat Husain telahpun menghubungi pihak keselamatan Mesir untuk mengatasi masalah ini. Apa yang dicadangkan oleh pihak keselamatan Mesir supaya PMRAM terus melaporkan kepada pihak keselamatan secara terperinci mengenai sesuatu kejadian untuk tindakan selanjutnya. Ini kerana pihak keselamatan Mesir sendiri mengakui bahawa pihak mereka tidak cukup tangan dalam menguruskan jenayah-jenayah di kalangan rakyatnya sendiri.

Untuk memastikan supaya keselamatan semua mahasiswa mahasiswi Malaysia di bumi Mesir ini, PMRAM mengharapkan kepada semua sahabat-sahabat dapat mematuhi beberapa garis panduan di bawah sebagai langkah berjaga-jaga.

Berikut adalah garis panduan yang perlu diikuti:

1. Melaporkan terus kepada pihak Presiden PMRAM di talian hotline +2010-5839069 atau BKTD PMRAM di talian +2011-2356361 atau menghubungi Yang Dipertua BKAN atau Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa masing-masing seandainya berlaku perkara yang tidak diingini.

2. Elakkan daripada berada di luar rumah berseorangan selepas jam 10 malam. Sebaik-baiknya bersama dengan lebih daripada 2 orang.

3. Seandainya berseorangan, kalian dicadangkan untuk menaiki teksi supaya terus sampai ke pintu rumah.

4. Elakkan diri daripada berjalan di kawasan yang gelap dan sunyi daripada laluan orang ramai.

5. Diminta kepada seluruh mahasiswi agar tidak keluar dari rumah pada waktu malam melainkan sekiranya ada KEPERLUAN YANG MENDESAK dengan DIIRINGI MUSYRIF.

0 ulasan:

 
Powered by Blogger | Printable Coupons