Tuesday, April 1, 2008

Malaysia Haramkan Fitna

KUALA LUMPUR 31 Mac – Kementerian Dalam Negeri akan mengharamkan penayangan dan pengedaran filem Fitna di negara ini kerana ia bersifat menghina sensitiviti umat Islam.
Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) akan mengambil tindakan sepatutnya berhubung pengedaran filem tersebut di negara ini.
Katanya, tidak ada sebarang filem yang dibenar diedarkan di negara ini tanpa melalui proses penapisan oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM).
Katanya, sama ada filem Fitna diedarkan atau tidak, yang pentingnya ialah kementerian melihat filem itu yang tidak mengambil kira sensitiviti agama lain, sebagai hanya memporak-perandakan dunia.
‘‘Tugas kita di kementerian melibatkan prinsip tertentu untuk membenarkan filem diedar dan dikeluarkan dalam negara kita.
‘‘Kalau ia menyentuh perasaan dan sensitiviti mana-mana kaum dan agama, itu menjadi asas yang menjadikan kita menolak keluaran yang boleh menimbulkan kebencian,’’ katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan ahli majlis perundangan Belanda, Geert Wilders yang menerbit dan menayangkan filem Fitna yang menghina Islam dengan memetik beberapa ayat al-Quran bersama imej latar serangan pengganas.
Amsterdam sebelum ini memberi amaran kepada Wilders bahawa filem itu bakal mencetuskan keganasan di negara Islam seperti yang berlaku semasa penerbitan kartun yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Syed Hamid yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, filem Fitna melibatkan soal yang menghina agama Islam yang diedarkan dengan tujuan membangkitkan kemarahan.
Katanya, kalau timbul kemarahan, mereka terpaksa bersikap bertanggungjawab dan berhadapan dengan kemarahan daripada masyarakat Islam antarabangsa.


0 ulasan:

 
Powered by Blogger | Printable Coupons