Sunday, July 13, 2008

Artikel Rejab

Kalendar umat Islam sebagaimana yg dinyatakan Al-Quran menetapkan dalam setahun terdapat 12 bulan. Pengiraannya berdasarkan pergerakan bulan dan bukan pergerakan matahari sebagaimana yg diamalkan oleh Ahli Kitab. Di antara bulan-bulan tersebut terdapat 4 bulan haram iaitu Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Ulama berselisih pendapat dalam menentukan bulan manakah yg paling afdhal. Sebahagian Syafieyyah berpendapat bulan Rejab. Pendapat ini dikatakan lemah oleh Imam Nawawi. Imam Nawawi mentarjihkan pendapat Hasan Basri iaitu bulan Muharram. Pendapat Sa'id ibn Jubair ialah bulan Zulhijjah.

Artikel kali ini akan mengupas secebis maklumat tentang bulan Rejab. Rejab diambil daripada perkataan رجب yg bermakna memuliakan atau mengagungkan. Maka, bulan Rejab dinamakan Rejab ialah kerana ia dimuliakan atau diagungkan oleh Allah. Terdapat ulama yg menyatakan nama-nama bulan Rejab iaitu sebanyak 14 nama. Sebahagian yg lain menyatakan 17 nama. Ulama berkata, bulan Rejab ialah bulan menanam, bulan Syaaban ialah bulan menyiram dan bulan Ramadhan ialah bulan menuai.

Hadith-hadith yg diriwayatkan tentang kelebihan Solat Raghaib yg ditunaikan pada malam Jumaat pertama daripada bulan Rejab merupakan hadith-hadith maudu'. Jumhur ulama menyifatkan Solat Raghaib sebagai bidaah. Ianya wujud selepas tahun 400 Hijrah. Oleh sebab itu, ia tidak pernah dikenali oleh ulama sebelumnya maka mereka tidak pernah membicarakan tentangnya.

Menurut Imam Ibn Rejab Al-Hanbali, tiada hadith shahih yg menyatakan secara khusus tentang kelebihan puasa di bulan Rejab. Tetapi terdapat hadith shahih yg menyatakan kelebihan puasa pada bulan-bulan haram dan Rejab adalah salah satu daripadanya. Antara hadith-hadith tersebut ialah " Puasa yg paling afdhal selepas Ramadhan ialah puasa pada bulan-bulan haram, dan solat yg paling afdhal selepas solat fardhu ialah ialah solat malam." Riwayat Muslim. Bahkan, sebahagian salaf berpuasa pada keseluruhan bulan haram antaranya ialah Ibn Umar, Hasan Basri & Ibn Ishak As-Sabi'ey.

Anas bin Malik berkata apabila tiba bulan Rejab, Baginda Sollahualaihiwasallam berdoa,

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان

"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab & Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan." Walaupun sanad hadith ini dhaif tetapi sebagaimana yg disepakati oleh kebanyakan ulama, harus & sunat beramal dengan hadith dhaif selagimana tidak maudu'.

Antara peristiwa penting yg berlaku pada bulan Rejab ialah peristiwa bersejarah Isra' Mi'raj yg berlaku pada 27 Rejab. Pendapat ini telah ditarjihkan oleh Imam Nawawi.

Pada malam itu, baginda dipertemukan dengan para Anbiya' sebelumnya, dipamerkan sebahagian alam ghaib dan menjadi tetamu yg amat yg istimewa. Rasulullah dan ummatnya dianugerahkan kefarduan solat 50 waktu lalu dikurangkan sehingga 5 waktu. Jumhur ulama berpendapat Isra' Mi'raj berlaku pada satu malam sahaja, secara ruh dan jasad dan dalam keadaan sedar. Pengajaran yg dapat diambil daripada peristiwa Isra' Mi'raj ialah dunia ialah tempat ujian dan bekerja bukan tempat rehat dan bergembira. Ia juga mengajar supaya menguatkan semangat untuk berjuang di jalan Allah. Yakinlah, bahawa seluruh kuasa akan tunduk di bawah kekuasaaan Allah!

0 ulasan:

 
Powered by Blogger | Printable Coupons