Saturday, December 22, 2007

Sekilas Pandang Sejarah KPT

Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu(KPT) telah ditubuhkan pada tahun 1964 dengan bermatlamatkan penyatuan dan kebajikan seluruh anak-anak Terengganu yang berada di Mesir. KPT daripada tahun ke tahun mengekalkan dasar sebagai badan kebajikan hingga sekarang. Generasi pertama KPT berpusat di no. 22, Haraf Refat, Maniel, Flat 6, Kaherah, Mesir. Pada peringkat awal penubuhannya seramai 28 orang pelajar Terengganu menjadi ahli KPT yang menuntut ilmu di bumi Mesir.

Mesyuarat pertama telah diadakan pada 27 Februari 1964.Dalam mesyuarat ini mereka telah memilih lima orang pelajar untuk menguruskan hal ehwal pelajar di bawah nama Wakil Pelajar Terengganu(WPT) antara tahun 1964-1970.Agenda terpenting yang sentiasa diperjuangkan oleh WPT ialah masalah kewangan pelajar. Hal ini memandangkan matawang Malaysia pada waktu itu amat rendah nilainya jika dibandingkan dengan matawang Mesir. Permasalahan ini menyebabkan ramai pelajar menghadapi kesulitan untuk memperbaharui syarat permastautinan.Syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Mesir ialah sebanyak LE 120 (RM 80). Alhamdulillah dengan hasil rundingan yang berterusan semenjak tahun 1964,iaitu era kepimpinan Ustaz Sulaiman bin Ali(1964-1966)sehingga tahun 1968, di bawah kepimpinan Ustaz Mohd Yusuf bin Noor (1967-1968), segala permasalahan berjaya diatasi dengan persetujuan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk membuat pembayaran sebahagian daripada jumlah yang ditetapkan. Selain daripadaitu, terdapat juga pelajar-pelajar yang mendapat biasiswa daripada kerajaan Persekutuan dan Negara Islam yang lain seperti Libya, Iraq dan Brunei.

Rombongan pelajar puteri pertama seramai dua orang tiba di Kaherah pada tahun 1968. Pada tahun berikutnya, bilangan penuntut KPT semakin meningkatdan aktiviti KPT turut dipergiatkan lagi dengan usaha-usaha untuk meningkatkan taraf akademik pelajar di samping menitikberatkan permasalahan kebajikan pelajar.Pada 24 Mac 1972, KPT telah menghantar satu memorandum kepada Kerajaan Negeri berkenaan tangga gaji para lepasan Universiti Al-Azhar.Pada tahun 1973-1975, di era kepimpinan Ustaz Harun Taib, KPT mula menunjukkan penekanan yang serius dalam menghidupkan maklis ilmu dan diperkemaskan lagi di era kepimpinan Ustaz Abdul Hadi bin Awang(1975-1976). Hasil daripada itu,kegiatan keilmuan telah dianjurkan dengan meluas oleh KPT. Program-program seumpama ini terus diperbaiki dan dikemaskini, bahkan menjadi aktiviti kebiasaan bagi pelajar-pelajar Terengganu di Mesir sehinggalah sekarang.Menjelang tahun 1988, perkhidmatan kebajikan kepada pelajar diperluaskan lagi dan masih kekal sehingga hari ini.

Bermula Februari 1999,semakin ramai pelajar persendirian mendiami Kompleks Asrama Pelajar Terengganu di bawah pentadbiran Yayasan Terengganu bagi mengurangkan tekanan ekonomi semasa.

Pada tanggal 20 Jamadil Awal 1421,bersamaan 23 Jun 2000 sejarah menyaksikan Kompleks Asrama Terengganu telah dirasmikan oleh Tuan Guru Haji Harun bin Taib, ahli Majlis Mesyuarat kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Dakwah dan Pelaksanaan Syariah.

0 ulasan:

 
Powered by Blogger | Printable Coupons