Wednesday, February 25, 2009

HIKMAT 09 CAPAI MATLAMAT

HAYYU ASYIR, 23 Februari - Hari Keluarga dan Mahabbah Anak-Anak Terengganu [HIKMAT 09] yang berakhir semalam berjaya mencapai target dan matlamat besar KPT dalam menghimpun dan menyatukan seluruh anak-anak Terengganu di Bumi Mesir ini.

Hari Keluarga dan Mahabbah Anak-Anak Terengganu yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini berjaya menarik penyertaan lebih daripada 200 orang peserta (angka ini berdasarkan pendaftaran yang dibuat) di kalangan anak-anak Terengganu yang hadir sepanjang program tersebut.

Kehadiran anak-anak Terengganu dari setiap muhafazah mengamit suasana meriah ditambah pula dengan kehadiran pelajar-pelajar perubatan sepanjang program tersebut.

Kuliyyah Maghrib yang disampaikan YM Tengku Abdul Kadir Tengku Zainal Abidin, Mantan Presiden PERUBATAN Mesir

Majlis bermula sebaik sahaja selesai solat maghrib apabila pihak penganjur menjemput Mantan Presiden PERUBATAN Mesir, Tengku Abd Kadir Tengku Zainal Abidin menyampaikan kuliah maghrib khas sempena HIKMAT 09.

Pihak penganjur HIKMAT 09 begitu komited untuk menampil dan menonjolkan anak-anak Terengganu dalam setiap majlis dan slot yang diadakan.

Sejurus selepas itu, tirai HIKMAT 09 dibuka dan dirasmikan oleh Pegawai HEP Terengganu, Tuan Haji Kamal Bin Abdullah.

Dalam ucapan perasmian tersebut, beliau melahirkan rasa gembira dan berbesar hati di atas penganjuran program seperti ini dan berharap program ini dapat dijadikan sebagai medium terbaik buat anak-anak Terengganu untuk berkenalan secara lebih rapat dan lebih mesra antara satu sama lain.
Pegawai HEP Terengganu berbual mesra bersama Presiden PMRAM

Turut berucap dalam majlis tersebut, Presiden PMRAM, Ust Khairul Anuar Ismail serta Yang Di-Pertua Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu, Ust Shafizi Ismail.

Tuan Haji Kamal Bin Abdullah merasmikan web baru KPT.

Dalam pada itu juga, Pegawai HEP Terengganu, Tuan Haji Kamal Bin Abdullah turut berbesar hati melancarkan web rasmi baru Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu iaitu infokpt.com.

Ini salah satu lagi usaha terbaru pihak KPT dalam menaiktaraf medium penyaluran maklumat secara tepat dan berinformasi kepada ahli-ahli dan juga kepada pihak pentadbiran kerajaan negeri.
Presiden PMRAM, Ust Khairul Anuar Ismail menyampaikan cenderahati kepada Pegawai HEP Terengganu.

HIKMAT pada tahun ini menampilkan lebih daripada 21 acara sukaneka/padang untuk dipertandingkan manakala 7 lagi untuk acara dewan disamping beberapa acara kemasyarakatan dan juga beberapa acara khas untuk pasangan berkahwin.

Ahli-ahli KPT mendapatkan khidmat nasihat kesihatan di program tersebut.

Selain itu, Pihak KPT turut menyediakan khidmat nasihat dan pemeriksaan kesihatan percuma pada hari ketiga program. Khidmat kesihatan ini telah dikendali urus oleh Persatuan PERUBATAN Mesir. Seramai 4 orang doktor dari Biro Sukan & Aktiviti Luar PERUBATAN telah menjalankan pemeriksaan kesihatan kepada para peserta.

Tuan Haji Kamal Bin Abdullah sedang mengukur ketinggian..

Turut serta mendapatkan pemeriksaan kesihatan adalah Pegawai HEP Terengganu,Tuan Haji Kamal Abdullah.

Di malam akhir program, diadakan Majlis Penyampaian Hadiah kepada para pemenang dalam setiap acara yang dipertandingkan.

Apa yang pasti, kejuaraan keseluruhan pada tahun ini dinobatkan kepada Kumpulan Lopat Tikang (Lelaki) manakala juara keseluruhan bagi acara padang serta acara dewan (perempuan) digondol oleh Kumpulan Faraulah dan juga Kumpulan Burtuqol.....

Pihak AJKT & HEWI KPT mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan HIKMAT pada tahun ini...

Jumpa lagi HIKMAT pada tahun akan datang........

P/S : Untuk melihat lebih gambar, sila ke pautan Galeri di http://infokpt.com/

0 ulasan:

 
Powered by Blogger | Printable Coupons